Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
fatin@bharian.com.my
2011/04/16
SHARIFAH Haneesya Syed Sahlan (tengah) dan Syed Hezreek (kanan) bersama ibu tersayang Nor Hasnida. |
Anak istimewa perlu bimbingan khusus
"PERNAH saya bersedih dan sering bertanya kepada ibu, mengapa Allah buat saya begini dan mengapa saya terpaksa melalui detik sukar. Walaupun puas saya berusaha untuk berada di tahap yang sama seperti kawan lain, saya sering kali gagal," kata Sharifah Haneesya Syed Sahlan.
Kata-kata anak gadis yang cukup manis penampilannya ini pasti menyentuh hati sesiapa saja yang mendengar, apatah lagi ibu yang melahirkan.
Sepanjang perbualan, tiada siapa menyangka Sharifah Haneesya, 11, sebenarnya mengalami masalah disleksia. Cuma, sekilas mata memandang ke arah lencana yang ditampal pada seragam sekolahnya menyedarkan kita masalah dialaminya. Perkataan `Pelajar Disleksia’ terpampang pada lencananya.
Sharifah Haneesya Syed Sahlan, 11, bercerita masalahnya dikesan pada usia lapan tahun. Dia sentiasa bermasalah untuk membaca menyebabkannya terpaksa memberi fokus yang lebih sepanjang proses pembelajaran berbanding rakan seusia.
“Saya sukar untuk menyusun ayat kerana saya tidak mampu memikirkan apa-apa selanjutnya untuk dikaitkan dengan kenyataan yang dilakukan terdahulunya.
“Saya juga tidak suka dengan keadaan yang bingit atau mendesak kerana ia membuatkan saya rasa sesak nafas malah kadangkala trauma dengan persekitaran sedemikian,” jelasnya.
Apapun keadaan yang terpaksa dilalui sebagai anak gadis, Sharifah Haneesya tidak menganggap dirinya golongan yang lemah, dia mencari dirinya dan berpegang pada minat dan bakat yang dimilikinya untuk membawa dirinya ke atas.
“Jika ditanya mengenai cita-cita saya tidak tahu, Tapi apa yang pasti saya ingin menjadi individu yang berjaya. Buat masa ini, saya minat dengan seni persembahan dan akan melakukan yang terbaik untuk pilihan itu.
“Saya juga ingin memadamkan spekulasi umum terhadap kekurangan anak-anak disleksia. Dengan usaha dan ketekunan, saya yakin kami mampu berada di tangga teratas dalam bidang yang diceburi,” katanya bersemangat.
Menyokong semangat itu, ibunya menjelaskan dia juga tidak pernah berputus asa memikirkan yang terbaik berikutan hasratnya ingin melihat individu disleksia seperti puterinya itu mencapai kejayaan seiring kanak-kanak normal.
“Terimalah kekurangan mereka dan perbaiki kelemahan dimiliki. Kefahaman dan toleransi membolehkan anak-anak ini berada di tempat teratas jika peluang diberikan kepada mereka dan saya yakin begitu juga dengan puteri saya ini.
“Mereka bukan tidak bijak, cuma cara pembelajaran dan penyampaian berbeza daripada kanak-kanak normal. Paling penting, jangan sesekali memperlekehkan usaha yang mereka lakukan,” luahnya.
Cabaran yang pasti berat buat Nor Hasnida Hasan, tambah pula bukan seorang malah dua anaknya berhadapan masalah serupa.
Nor Hasnida mengakui, pada awalnya agak sukar menerima kenyataan anak sulung perempuannya mengalami masalah disleksia, namun, dia melakukan pelbagai usaha untuk memulihkan anaknya.
“Setiap ibu yang melahirkan mengimpikan kesempurnaan. Melihat fizikal anak sulung saya yang tidak jauh seperti kanak-kanak normal, menyulitkan lagi penerimaan berita mengenai masalah dialaminya.
“Sebelum ini, saya mengambil tindakan drastik dengan memberikan jadual padat dengan harapan dia tidak ketinggalan dalam kelasnya memandangkan keadaan dirinya yang bermasalah dalam pelajaran seperti mengeja dan membaca.
“Dia pernah dirotan dan dimarahi kerana agak lambat mengeja, apatah lagi membaca. Tiada pendekatan lain diambil melainkan paksaan dan saya lihat anak semakin tertekan,” katanya.
Nor Hasnida akhirnya beralah dan berbincang dengan anak bagi mengetahui masalah yang berlaku. Pemeriksaan lanjut dengan pakar perubatan akhirnya mengesahkan anaknya itu mengalami masalah disleksia.
“Patutlah segala perancangan saya termasuk jadual belajar tidak berhasil. Mengetahui masalahnya, saya membuka hati mendekatinya dan mendalami apa yang dilalui anak.
“Saya memberikan kelonggaran untuk dirinya memilih cabang yang diminatinya, tanpa mengabaikan kepentingan pelajaran. Jadi, saya mengetengahkan sistem pembelajaran yang interaktif dan kreatif seiringan dengan pemikiran mereka. Begitu juga dengan anak kedua saya, cuma masalahnya lebih ketara berbanding kakaknya,” katanya.
Hasnida yang membesarkan dua anak disleksia itu mendakwa, pada pendapatnya setiap individu istimewa yang senasib dengan permata hatinya mampu meraih kejayaan bergantung kepada kecenderungan minat mereka.
Katanya, anak-anak istimewa ini mungkin bermasalah dalam pembelajaran akademik, namun mereka juga sebenarnya memiliki bakat terpendam yang cukup memberangsangkan jika digilap dan dibimbing dengan betul. Mereka juga memerlukan sokongan, tambah pula kanak-kanak begini mudah emosi.
Sharifah Haneesya, menunjukkan minat dalam bidang seni persembahan. Hasil nyanyian dan lakonannya cukup menyentuh dan penyampaiannya acap kali diberikan pujian, malah ada juga yang menyuarakan mereka tidak percaya dia seorang disleksik.
“Mungkin ada segelintir individu tidak dapat menerima minat yang ditonjolkan anak saya kerana menganggap dirinya terlalu mentah dan seharusnya saya tidak memanjakan dirinya dengan setiap permintaan.
“Tapi mereka lupa dengan masalah yang dialami anak sulung saya itu, jika dia tidak cemerlang dalam bidang akademik, sekurang-kurangnya dia meraih kejayaan dalam bidang yang digemarinya. Sekurang-kurangnya dia memiliki sesuatu dalam kehidupannya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata masalah disleksia bukan perkara remeh.
Disleksia bukan sesuatu yang harus digeruni namun ia bukan soal kecil. Penghidapnya mengalami kesukaran mengenal perkataan, sukar mengingati suku kata atau menggabungkan huruf sekali gus menyukarkan pembacaan.
Apabila pembacaan jadi penghalang, timbul pelbagai masalah lain misalnya pelajar sering ketinggalan menyebabkan mereka kurang minat untuk ke sekolah walaupun memiliki kecerdasan mental sama malah lebih daripada pelajar normal lain.
"Selain masalah utama penghidap disleksia iaitu dari segi pandangan dan pendengaran, beberapa petanda lain dikaitkan dengan disleksia. Misalnya, penghidap tidak sedar mereka memakai baju atau kasut terbalik, memegang pensel dengan semua jari serta tidak dapat mengingati turutan sesuatu perkara contohnya turutan hari," katanya.
Jelasnya, masalah berkenaan boleh diatasi dalam tempoh singkat iaitu seawal tiga bulan terutama di kalangan mereka yang masalah dikesan sejak kecil, seperti berusia empat tahun atau lima tahun.
Katanya, kanak-kanak istimewa ini juga mempunyai kelebihan dalam pelbagai sektor terutama seni jika diberikan pendedahan awal dan adalah penting untuk ibu bapa sendiri mengesan minat dimiliki anak mereka.
“Jika mendapati anak kita mengalami masalah disleksia, jangan pandang mudah dan membiarkan keadaan menjadi keruh. Sedari dan fahami, berbincang sangat penting dalam mendidik anak pintar ini,” jelasnya.
Kempen beli sambil bantu
UMUM mengetahui, masalah disleksia mampu membantutkan tumbesaran kanak-kanak dalam mencapai kejayaan di masa hadapan jika ia dibiarkan berlarutan tanpa sebarang bimbingan.
Masalah yang dihidapi kira-kira 314,00 pelajar di Malaysia itu menyukarkan mereka untuk menjalani proses pembelajaran, termasuk membaca, mendengar dan menghitung. Kanak-kanak ini memerlukan alat bantuan mengajar khusus untuk mendidik mereka berbeza dengan mereka yang normal.
Namun, untuk menyediakan kemudahan itu memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi merangkumi keperluan tenaga pengajar yang terlatih.
Sebagai langkah awal menyuarakan keprihatinan terhadap masalah itu, Procter & Gamble (P&G) bersama kerjasama pasar raya Giant menganjurkan kempen Gift Of Learning bagi mewujudkan peluang pembelajaran untuk bantu kanak-kanak disleksia menerusi Persatuan Disleksia Malaysia (DAM).
Kempen itu mensasarkan dana sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada DAM seluruh negara sekali gus menyediakan kemudahan dan alat bantuan belajar untuk anak-anak istimewa itu.
Pelancaran berlangsung hari ini di Giant Kota Damansara bermula jam 11.30 pagi dan tetamu yang hadir bakal dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh kanak-kanak DAM.
Masyarakat boleh melakukan sumbangan kepada kempen itu dengan membeli produk P&G yang tersenarai di semua rangkaian pasar raya Giant seluruh negara bermula 1 April ini hingga 19 Mei 2011.
INFO: Penghidap disleksia hebat
1. Saintis terkemuka, Albert Einstein
2. Presiden Amerika Syarikat ke-35, John F Kennedy
3. Juara tinju dunia, Mohammad Ali
4. Penyanyi dan pemuzik, John Lennon
5. Pelukis dan arkitek, Leonardo da Vinci
6. Pengarah dan pelakon, Tom Cruise
7. Pengarah filem terkenal Hollywood, Steven Spielberg
0 comments:
Catat Ulasan