Recent Posts


ShoutMix chat widget

Karnival Permainan Pendidikan Khas Peringkat Negeri Melaka 2011

1. Futsal: Johan bawah 12 tahun 2. Bola Jaring: Ketiga bawah 12 tahun

KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG PENDIDIKAN KHAS NEGERI MELAKA 2011

Tarikh: 8 hingga 10 Mac 2011 (Selasa - Khamis) Masa: 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari Tempat: Stadium Mini Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota

RENANG SEBAGAI TERAPI BAGI MURID-MURID PENDIDIKAN KHAS DISLEKSIA

TARIKH : 24 MAC 2011 (KHAMIS) MASA : 8.00 HINGGA 12.00 TEMPAT : KOLAM RENANG MBMB

APA ITU DISLEKSIA

Disleksia adalah satu masalah pembelajaran iaitu kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap di sebalik pengajaran yang cukup dan peluang budaya yang sempurna. Sebenarnya masalah ini bukanlah satu penyakit dan ia tidak memerlukan ubat untuk mengubatinya, sebaliknya dengan program pendidikan yang sesuai masalah ini dapat dikurangkan.

JENIS-JENIS DISLEKSIA

Disleksia boleh dikategorikan kepada tiga bahagian

Memaparkan catatan dengan label Disleksia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Disleksia. Papar semua catatan

Jumaat, 30 September 2011

Pendekatan berbeza didik anak disleksia

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my



RELAKAH anda mendengar suara-suara masyarakat mengatakan anak anda tidak cerdik atau tidak normal seperti kanak-kanak lain?

Lebih menyedihkan, guru di Taman Didik Kanak-Kanak (Tadika) dan sekolah menegur tentang kebolehan membaca serta menulis anak-anak itu yang agak ketinggalan berbanding pelajar lain sehingga membuatkan para pengajar hilang sabar.

Disebabkan kekurangan yang dihadapi kelompok kanak-kanak itu maka persepsi malas, terus melekat terhadap mereka gara-gara keengganan untuk mencuba menulis serta membaca dengan betul.

Nasihat kepada guru-guru di luar sana, jangan berharap mereka untuk mampu menulis dan membaca dengan cemerlang jika anda mengajar mereka dengan teknik sama seperti pelajar-pelajar normal lain.

Jika berdepan situasi tersebut, harus anda ketahui bahawa anda sedang berdepan dengan golongan disleksia iaitu kumpulan individu yang mengalami kesukaran membaca, menulis dan mengeja.

“Kurangnya pendedahan dan kesedaran dalam kalangan guru serta ibu bapa terhadap disleksia menyebabkan kekeliruan terhadap masalah yang dihadapi golongan disleksia. Secara kasar ia mungkin dilihat sebagai individu buta huruf yang perlu dimasukkan ke dalam kelas pemulihan khas tetapi, sebenarnya mereka memerlukan pendekatan pembelajaran berbeza,” jelas Presiden Persatuan Dyslexia Malaysia (PDM), Sariah Amin.

Proses pembelajaran golongan disleksia perlu melengkapi penggunaan deria-deria utama seperti sentuhan, bunyi serta penglihatan kerana ia akan menjawab semua persoalan yang bersarang dalam fikiran mereka.

Jelas Sariah, golongan disleksia kebiasaannya berdepan masalah membezakan huruf a, d dan g disebabkan bentuknya yang serupa walaupun cara membunyikannya berbeza.

Sembilan pusat PDM

Bagi mengatasi kekeliruan tersebut, blok-blok huruf tersebut akan diletakkan di hadapan mereka dan mereka akan diberi penjelasan tentang perbezaan huruf tersebut.

“Contohnya, huruf d akan dikenali mereka sebagai huruf a yang mempunyai tangkai di atas sementara huruf g mempunyai ekor di bawah.


PUSAT pembelajaran disleksia ditubuhkan khas untuk memberikan pendidikan yang lebih fokus kepada pelajarnya tanpa tekanan dan saingan dengan pelajar normal.

“Penjelasan itu juga perlu didatangkan secara visual dan sentuhan agar mereka benar-benar memahami perbezaan huruf-huruf tersebut,” kata Sariah lagi.

Sejak penubuhan PDM pada 1999, persatuan tersebut terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada kanak-kanak disleksia dengan mewujudkan sembilan buah pusat pembelajaran di seluruh Malaysia.

Menerusi program pembelajaran tiga bulan di pusat pembelajaran tersebut, golongan disleksia akan diberi bimbingan serta perhatian khusus bagi mengatasi masalah mereka.

Seperti yang diketahui, golongan disleksia memerlukan tumpuan khusus, jadi setiap kelas di pusat PDM hanya memuatkan lima pelajar secara maksimum dengan seorang guru mengajar tiga subjek teras.

Subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Matematik diajar oleh guru yang sama untuk setiap kelas bagi mewujudkan kemesraan dan keselesaan dalam kalangan mereka.

Intan Nur Jannah Mat Nawi, guru di pusat PDM Ampang memberitahu, mengajar kanak-kanak disleksia sangat menguji kesabaran serta memerlukan kemahiran tinggi.

“Mereka sangat jujur dan kadang-kadang kata-kata mereka boleh membuatkan kita rasa hendak marah dan putus asa untuk mengajar mereka.

“Ada juga di antara mereka yang pemalu dan tidak mahu bercakap apabila bertemu orang baharu, tetapi disebabkan sifat mudah mesra tidak sukar bagi mereka menyesuaikan diri,” ujar Jannah yang mula berkhidmat sejak 2005 lagi.

Pembelajaran di pusat PDM difokuskan kepada auditori, sentuhan dan sebutan di mana setiap pendekatan digabungkan agar impak yang diterima mereka lebih berkesan.

Jelas Jannah, perkataan-perkataan yang diajar perlu dieja mengikut bunyi perkataan itu disebut dan susunan perkataan dalam ayat juga perlu senada agar mereka tidak mengalami kekeliruan.

Tambah guru yang berumur 24 tahun itu lagi, proses mengajar kanak-kanak disleksia perlu dilakukan secara berperingkat serta tidak terlalu mendadak.


SEORANG guru menggunakan animasi interaktif menerusi komputer untuk merangsang minat pelajar disleksia.

Selain alat bantuan belajar seperti komputer, barangan permainan seperti permainan blok dan tanah liat juga penting bagi golongan disleksia menjana kreativiti mereka.

Sariah memberitahu bahawa pelajar-pelajar disleksia di pusat PDM akan diberi masa selama 30 minit untuk bermain kedua-dua permainan tersebut sebelum kelas bermula.

Ujar Sariah, mereka yang berada pada tahap disleksia serius kebiasaannya mengalami masalah menggerakkan tangan ketika menulis.

Penggunaan tangan dengan cara menekan dan membentuk ketika bermain permainan tersebut dikatakan dapat membantu meningkatkan kemahiran motor halus yang dialami mereka.

Jiwa sensitif

Jika di sekolah-sekolah biasa, mungkin kanak-kanak disleksia akan ditegur dengan agak keras sekiranya mereka gagal menangkap apa yang diajar guru.

Bagaimanapun di pusat PDM, guru-guru terlatih tersebut tidak perlu menegur mereka menerusi kata-kata kerana ia akan mengundang kepada permasalahan lain.

“Kanak-kanak disleksia amat sensitif, jika dimarah mereka akan menunjukkan sikap negatif dan menjadi nakal.

“Oleh sebab itu kita tidak boleh sewenang-wenangnya memanggil mereka bodoh atau apa jua gelaran yang boleh membuatkan mereka berasa rendah diri.

“Jika mereka berterusan dilayan dengan cara begitu, maka apabila dewasa mereka akan terjebak dengan pelbagai masalah sosial,” kata Sariah yang telah 12 tahun menjadi penaung PDM.

Seorang ibu yang menghantar anaknya ke pusat PDM Ampang, Emilia Radzwan memberitahu, anak sulungnya, Muhammad Aqil Akmal dikesan mengalami disleksia pada awal tahun ini.

Luah Emilia, Aqil yang kini berusia lima tahun mempunyai masalah untuk bercakap dan mengenali abjad ketika berada di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).

“Dia susah hendak memberitahu apa yang hendak dicakapkan, seolah-olah dia perlu berfikir dengan lama sebelum dapat mengeluarkan kata-kata tersebut.

“Pada mulanya saya dan suami tidak mengesyaki apa-apa tetapi, setelah teringat situasi serupa yang terjadi kepada seorang saudara, kami terus membawa Aqil menjalankan pemeriksaan.

“Setelah dia disahkan mengalami disleksia, kami mengambil keputusan mengeluarkannya daripada taska dan menghantarnya ke pusat PDM,” luah Emilia yang bekerja sebagai perunding pelancongan.


SEORANG guru di pusat pembelajaran disleksia di Ampang mengajar seorang anak muridnya mengenali huruf.

Kini, selepas tiga bulan mengikuti program di pusat PDM, Aqil yang mengalami disleksia tahap sederhana sudah mengenal huruf, nombor, mengeja malah, dapat memegang pensil dengan betul.

Walaupun begitu, Emilia memutuskan untuk menyambung tiga bulan lagi tempoh pengajian Aqil di ‘sekolah’ disleksia itu agar anak pertama daripada dua beradik tersebut boleh membaca dengan lancar.

Bukan Emilia sahaja memilih untuk menyambung program anaknya di pusat PDM, malah ramai ibu bapa melakukan perkara sama kerana inginkan perkembangan yang lebih baik sehingga mereka betul-betul bersedia untuk kembali ke sekolah biasa.

Tiada tajaan

Perjuangan PDM mendidik anak-anak disleksia bagaimanapun masih perlu dibiayai ibu bapa sendiri kerana tiadanya dana yang diperuntukkan buat persatuan itu.

Ibu bapa perlu membayar yuran pengajian sebanyak RM450 sebulan dan bagi mereka yang tidak berkemampuan, PDM akan membantu mendapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat korporat.

“Setakat ini hanya pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa badan korporat yang sudi menghulurkan bantuan kepada persatuan kami.

“Kami percaya ramai kanak-kanak disleksia di luar sana yang ingin menuntut ilmu di sini tetapi disebabkan sekatan kewangan, ibu bapa mereka terpaksa membantutkan hasrat tersebut.

“Diharapkan akan ada pihak-pihak tertentu yang sudi mengembalikan sinar harapan buat mereka agar dapat belajar secara percuma kelak,” ujar Sariah jujur.

Ibu bapa yang berminat menghantar anak-anak mereka yang mengalami disleksia ke pusat PDM bolehlah melayari www.dyslexiamalaysia.org.my dan menghubungi mana-mana pusat PDM yang berhampiran untuk keterangan lanjut.

Rabu, 11 Mei 2011

PIAGAM PELANGGAN

Kami berikrar dan berjanji akan menumpukan sepenuh tenaga dan usaha kami:

  • Memberikan pendidikan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial yang sebaik mungkin kepada murid-murid yang mempunyai Kebarangkalian Mengalami Disleksia dengan penuh kasih sayang tanpa mengira latar belakang dan keturunan.
  • Memberikan layanan segera dan terbaik kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran Spesifik Disleksia, SK Padang Temu, Melaka.

Ahad, 8 Mei 2011

Senarai Nama Murid Pendidikan Khas 2011

Bantu mereka belajar



ALBERT Einstein tidak pernah belajar membaca sehingga umurnya sembilan tahun. Seorang guru sekolah yang mengajar Thomas Edison melabelkannya sebagai murid lembam.

Sebagaimana masyhurnya cerita mengenai kedua-dua individu terbabit, kedua-dua mereka tidak menjadikan disleksia sebagai batu penghalang untuk mencapai kejayaan.
Sebagai usaha untuk mewujudkan kesedaran mengenai pentingnya rawatan pemulihan awal bagi disleksia, Procter & Gamble Malaysia (P&G), pasar raya besar Giant dan farmasi Guardian bekerjasama menerusi kempen ‘The Gift of Learning’ untuk membolehkan pengguna prihatin turut serta menyumbang ke arah keperluan pembelajaran kanak-kanak disleksia.

Kempen terbabit akan berlangsung sehingga 19 Mei 2011 dengan harapan untuk meraih kira-kira RM100,000 bagi menyediakan pembelajaran pemulihan secara percuma kepada kanak-kanak disleksia di pusat Pertubuhan Disleksia Malaysia di seluruh negara.

“Tahun ini, P&G berbangga kerana dapat bekerjasama dengan rakan kami iaitu Giant dan Guardian untuk membantu lebih ramai kanak-kanak disleksia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif P&G Malaysia dan Singapura, Ellie Xie ketika pelancaran kempen berkenaan di Kota Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, disleksia yang mempengaruhi kebolehan seseorang untuk membaca adalah satu fenomena biasa di negara ini dan membabitkan 314,000 kanak-kanak sekolah.

“Justeru, penting untuk mengesan penyakit ini di tahap awal supaya bantuan dapat diberikan secepat mungkin dan mereka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Dalam satu suasana ala kelas yang ceria, pengunjung pada Sabtu itu dihiburkan oleh pelajar berusia antara tujuh hingga 12 tahun daripada pertubuhan berkenaan. Tidak ketinggalan, penampilan istimewa personaliti televisyen, Baki Zainal, yang turut berkongsi pengalamannya sebagai penghidap disleksia.

Pengarah Pemasaran GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Ho Mun Hao, berkata sebagai rakan dalam kempen terbabit, pihaknya gembira kerana kedudukan rangkaian pasar raya Giant yang strategik dapat membantu untuk meraih dana bagi kanak-kanak disleksia berkenaan.

Sempena pelancaran terbabit, orang ramai dijemput untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai disleksia secara percuma mulai jam 10 pagi hingga 6 petang di kaunter khas di Giant Sunway City Ipoh (30 April dan 1 Mei) serta Giant Bayan Baru Pulau Pinang (7 dan 8 Mei).

Sehingga 19 Mei ini, pembelian produk jenama P&G di Giant atau Guardian membolehkan pembeli menyumbang untuk membantu kanak-kanak disleksia di negara ini. Layari laman web www.openminds.my atau Facebook untuk maklumat lanjut.

Dunia disleksia

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
fatin@bharian.com.my
2011/04/16

SHARIFAH Haneesya Syed Sahlan (tengah) dan Syed Hezreek (kanan) bersama ibu tersayang Nor Hasnida.

Anak istimewa perlu bimbingan khusus

"PERNAH saya bersedih dan sering bertanya kepada ibu, mengapa Allah buat saya begini dan mengapa saya terpaksa melalui detik sukar. Walaupun puas saya berusaha untuk berada di tahap yang sama seperti kawan lain, saya sering kali gagal," kata Sharifah Haneesya Syed Sahlan.

Kata-kata anak gadis yang cukup manis penampilannya ini pasti menyentuh hati sesiapa saja yang mendengar, apatah lagi ibu yang melahirkan.

Sepanjang perbualan, tiada siapa menyangka Sharifah Haneesya, 11, sebenarnya mengalami masalah disleksia. Cuma, sekilas mata memandang ke arah lencana yang ditampal pada seragam sekolahnya menyedarkan kita masalah dialaminya. Perkataan `Pelajar Disleksia’ terpampang pada lencananya.

Sharifah Haneesya Syed Sahlan, 11, bercerita masalahnya dikesan pada usia lapan tahun. Dia sentiasa bermasalah untuk membaca menyebabkannya terpaksa memberi fokus yang lebih sepanjang proses pembelajaran berbanding rakan seusia.

“Saya sukar untuk menyusun ayat kerana saya tidak mampu memikirkan apa-apa selanjutnya untuk dikaitkan dengan kenyataan yang dilakukan terdahulunya.

“Saya juga tidak suka dengan keadaan yang bingit atau mendesak kerana ia membuatkan saya rasa sesak nafas malah kadangkala trauma dengan persekitaran sedemikian,” jelasnya.
Apapun keadaan yang terpaksa dilalui sebagai anak gadis, Sharifah Haneesya tidak menganggap dirinya golongan yang lemah, dia mencari dirinya dan berpegang pada minat dan bakat yang dimilikinya untuk membawa dirinya ke atas.

“Jika ditanya mengenai cita-cita saya tidak tahu, Tapi apa yang pasti saya ingin menjadi individu yang berjaya. Buat masa ini, saya minat dengan seni persembahan dan akan melakukan yang terbaik untuk pilihan itu.

“Saya juga ingin memadamkan spekulasi umum terhadap kekurangan anak-anak disleksia. Dengan usaha dan ketekunan, saya yakin kami mampu berada di tangga teratas dalam bidang yang diceburi,” katanya bersemangat.

Menyokong semangat itu, ibunya menjelaskan dia juga tidak pernah berputus asa memikirkan yang terbaik berikutan hasratnya ingin melihat individu disleksia seperti puterinya itu mencapai kejayaan seiring kanak-kanak normal.

“Terimalah kekurangan mereka dan perbaiki kelemahan dimiliki. Kefahaman dan toleransi membolehkan anak-anak ini berada di tempat teratas jika peluang diberikan kepada mereka dan saya yakin begitu juga dengan puteri saya ini.

“Mereka bukan tidak bijak, cuma cara pembelajaran dan penyampaian berbeza daripada kanak-kanak normal. Paling penting, jangan sesekali memperlekehkan usaha yang mereka lakukan,” luahnya.

Cabaran yang pasti berat buat Nor Hasnida Hasan, tambah pula bukan seorang malah dua anaknya berhadapan masalah serupa.

Nor Hasnida mengakui, pada awalnya agak sukar menerima kenyataan anak sulung perempuannya mengalami masalah disleksia, namun, dia melakukan pelbagai usaha untuk memulihkan anaknya.

“Setiap ibu yang melahirkan mengimpikan kesempurnaan. Melihat fizikal anak sulung saya yang tidak jauh seperti kanak-kanak normal, menyulitkan lagi penerimaan berita mengenai masalah dialaminya.

“Sebelum ini, saya mengambil tindakan drastik dengan memberikan jadual padat dengan harapan dia tidak ketinggalan dalam kelasnya memandangkan keadaan dirinya yang bermasalah dalam pelajaran seperti mengeja dan membaca.

“Dia pernah dirotan dan dimarahi kerana agak lambat mengeja, apatah lagi membaca. Tiada pendekatan lain diambil melainkan paksaan dan saya lihat anak semakin tertekan,” katanya.

Nor Hasnida akhirnya beralah dan berbincang dengan anak bagi mengetahui masalah yang berlaku. Pemeriksaan lanjut dengan pakar perubatan akhirnya mengesahkan anaknya itu mengalami masalah disleksia.

“Patutlah segala perancangan saya termasuk jadual belajar tidak berhasil. Mengetahui masalahnya, saya membuka hati mendekatinya dan mendalami apa yang dilalui anak.

“Saya memberikan kelonggaran untuk dirinya memilih cabang yang diminatinya, tanpa mengabaikan kepentingan pelajaran. Jadi, saya mengetengahkan sistem pembelajaran yang interaktif dan kreatif seiringan dengan pemikiran mereka. Begitu juga dengan anak kedua saya, cuma masalahnya lebih ketara berbanding kakaknya,” katanya.

Hasnida yang membesarkan dua anak disleksia itu mendakwa, pada pendapatnya setiap individu istimewa yang senasib dengan permata hatinya mampu meraih kejayaan bergantung kepada kecenderungan minat mereka.

Katanya, anak-anak istimewa ini mungkin bermasalah dalam pembelajaran akademik, namun mereka juga sebenarnya memiliki bakat terpendam yang cukup memberangsangkan jika digilap dan dibimbing dengan betul. Mereka juga memerlukan sokongan, tambah pula kanak-kanak begini mudah emosi.

Sharifah Haneesya, menunjukkan minat dalam bidang seni persembahan. Hasil nyanyian dan lakonannya cukup menyentuh dan penyampaiannya acap kali diberikan pujian, malah ada juga yang menyuarakan mereka tidak percaya dia seorang disleksik.

“Mungkin ada segelintir individu tidak dapat menerima minat yang ditonjolkan anak saya kerana menganggap dirinya terlalu mentah dan seharusnya saya tidak memanjakan dirinya dengan setiap permintaan.

“Tapi mereka lupa dengan masalah yang dialami anak sulung saya itu, jika dia tidak cemerlang dalam bidang akademik, sekurang-kurangnya dia meraih kejayaan dalam bidang yang digemarinya. Sekurang-kurangnya dia memiliki sesuatu dalam kehidupannya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata masalah disleksia bukan perkara remeh.

Disleksia bukan sesuatu yang harus digeruni namun ia bukan soal kecil. Penghidapnya mengalami kesukaran mengenal perkataan, sukar mengingati suku kata atau menggabungkan huruf sekali gus menyukarkan pembacaan.

Apabila pembacaan jadi penghalang, timbul pelbagai masalah lain misalnya pelajar sering ketinggalan menyebabkan mereka kurang minat untuk ke sekolah walaupun memiliki kecerdasan mental sama malah lebih daripada pelajar normal lain.

"Selain masalah utama penghidap disleksia iaitu dari segi pandangan dan pendengaran, beberapa petanda lain dikaitkan dengan disleksia. Misalnya, penghidap tidak sedar mereka memakai baju atau kasut terbalik, memegang pensel dengan semua jari serta tidak dapat mengingati turutan sesuatu perkara contohnya turutan hari," katanya.

Jelasnya, masalah berkenaan boleh diatasi dalam tempoh singkat iaitu seawal tiga bulan terutama di kalangan mereka yang masalah dikesan sejak kecil, seperti berusia empat tahun atau lima tahun.

Katanya, kanak-kanak istimewa ini juga mempunyai kelebihan dalam pelbagai sektor terutama seni jika diberikan pendedahan awal dan adalah penting untuk ibu bapa sendiri mengesan minat dimiliki anak mereka.

“Jika mendapati anak kita mengalami masalah disleksia, jangan pandang mudah dan membiarkan keadaan menjadi keruh. Sedari dan fahami, berbincang sangat penting dalam mendidik anak pintar ini,” jelasnya.

Kempen beli sambil bantu

UMUM mengetahui, masalah disleksia mampu membantutkan tumbesaran kanak-kanak dalam mencapai kejayaan di masa hadapan jika ia dibiarkan berlarutan tanpa sebarang bimbingan.

Masalah yang dihidapi kira-kira 314,00 pelajar di Malaysia itu menyukarkan mereka untuk menjalani proses pembelajaran, termasuk membaca, mendengar dan menghitung. Kanak-kanak ini memerlukan alat bantuan mengajar khusus untuk mendidik mereka berbeza dengan mereka yang normal.

Namun, untuk menyediakan kemudahan itu memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi merangkumi keperluan tenaga pengajar yang terlatih.

Sebagai langkah awal menyuarakan keprihatinan terhadap masalah itu, Procter & Gamble (P&G) bersama kerjasama pasar raya Giant menganjurkan kempen Gift Of Learning bagi mewujudkan peluang pembelajaran untuk bantu kanak-kanak disleksia menerusi Persatuan Disleksia Malaysia (DAM).

Kempen itu mensasarkan dana sebanyak RM100,000 untuk disalurkan kepada DAM seluruh negara sekali gus menyediakan kemudahan dan alat bantuan belajar untuk anak-anak istimewa itu.

Pelancaran berlangsung hari ini di Giant Kota Damansara bermula jam 11.30 pagi dan tetamu yang hadir bakal dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh kanak-kanak DAM.

Masyarakat boleh melakukan sumbangan kepada kempen itu dengan membeli produk P&G yang tersenarai di semua rangkaian pasar raya Giant seluruh negara bermula 1 April ini hingga 19 Mei 2011.

INFO: Penghidap disleksia hebat
1. Saintis terkemuka, Albert Einstein
2. Presiden Amerika Syarikat ke-35, John F Kennedy
3. Juara tinju dunia, Mohammad Ali
4. Penyanyi dan pemuzik, John Lennon
5. Pelukis dan arkitek, Leonardo da Vinci
6. Pengarah dan pelakon, Tom Cruise
7. Pengarah filem terkenal Hollywood, Steven Spielberg

ADAKAH INDIVIDU DISLEKSIA MEMPUNYAI KEISTIMEWAAN


  • Antara orang ternama yang juga mengalami Disleksia termasuklah ahli politik (Lee Kuan Yew), pelakon (Whoopi Goldberg), artis (Leonardo da Vinci) dan saintis (Albert Einstein)
  • Ramai yang berdaya imaginasi tinggi, amat kreatif dan mampu berfikir dari pelbagai sudut / dimensi
  • Bijak dengan kemahiran tangan atau sukan.

MEMBANTU ANAK-ANAK BERMASALAH DISLEKSIA



Langkah-langkah untuk membantu mereka termasuklah :
  1. Bantu kanak-kanak dan keluarga mengendali permasalahan ini dan bina keyakinan diri anak
  2. Rawat penyakit lain yang mungkin berkait seperti Gejala Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan
  3. Pertingkatkan potensi pembelajaran anak melalui :
    • Terapi pertuturan
    • Latihan pendengaran dengan bantuan komputer
    • Pendekatan pelbagai deria (Menggunakan deria lain untuk membantu pembelajaran)
      • Deria sentuhan (menggunakan lakaran atas kertas pasir)
      • Deria pendengaran (menggunakan ritma atau bunyi perkataan/ huruf)
      • Merasa pergerakan bibir
      • Menulis huruf atau perkataan
  4. Langkah-langkah pemulihan :
    • Bantu anak menguasai maklumat secara beransur ansur
    • Pengulangan semasa mengajar (konsep ajar berlebihan) o Gunakan video atau kaset untuk belajar
  5. Program pemulihan khusus :
    • Ada sekolah yang mempunyai program pemulihan khusus untuk Disleksia
  6. Membawa berjumpa dengan pakar pisikologi pembelajaran atau psikologi klinikal pada peringkat awal bagi tujuan menaganinya
  7. Membantu kanak-kanak memahami bahawa walaupun dia mungkin berbeza dalam banyak hal tetapi tetap disayangi.
  8. Menambah dan menggalakkan sebarang kemahiran istimewa bakat atau kebolehan semulajadi
  9. Sentiasa sabar melayani karenah mereka yang mana biasanya kecewa dengan kegagalan yang berterusan.
  10. Membacakan cerita untuk anak-anak serta menjadi ahli persatuan sokongan ibu bapa
  11. Memberikan bantuan dan latihan pembelajaran sebelum memasuki tadika
  12. Mengamalkan suasan kasih sayang serta bersikap perihatin dalam mengekalkan suasana harmoni
  13. Membuat aktiviti berkeluarga serta memberi bimbingan dalam bidang akademik
  14. Memberi kebebasan yang terbatas serta nasihat untuk mengenal identiti sendiri
  15. Mengamalkan konsep diri diberi ganjaran atau pujian contohnya bagus, pandai

MASALAH KANAK-KANAK YANG MENGHADAPI DISLEKSIA


Masalah utama yang dihadapi kanak-kanak disleksia kebanyakanya adalah dalam proses pembelajaran. Permasalahan ini boleh dikelaskan kepada:

1. Mengeja
Kelemahan mengeja akan menyebabkan kebolehan untuk menyampaikan pengetahuan yang diperolehi adalah terhad. Untuk tempoh jangka mas yang panjang kelemahan dalam proses mengeja akan memberi kesan terhadap kelemahan membaca. Timbulnya masalah ini adalah berpunca daripada masalah-masalah awalan seperti terdapatnya kekeliruan dalam mengenal pasti huruf-huruf seperti:
  • m – w
  • y – g – j    
  • u – n    
  • m – n
  • c – e
  • p – q
  • h – n
  • b – d
Terdapat juga kekeliruan dalam membunyikan huruf seperti:
  • t – h 
  • f – v


2. Membaca
Kesukaran ini menghadkan kebolehan kanak-kanak untuk mendapatkan maklumat daripada rujukan-rujukan yang berkaitan. Secara langsung ianya akan membuat kanak-kank merasa rendah diri dan tidak berkeyakinan. Mereka cenderung menterbalikkan perkataan seperti:
  • Batu – tuba
  • Gula – lagu

Selain itu mereka juga melakukan pembalikkan dalam ayat. Contohnya seperti berikut:
  • pada masa yang sama – dapa masa yang masa

Kekeliruan perkataan antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Contohnya seperti berikut:
Bahasa Inggeris dengan Bahasa Melayu
  • Jam – jem
  • cat – cat


3. Menulis
Kanak-kanak ini juga mengalami kesukaran untuk memindahkan maklumat ke atas kertas. Mereka juga mengalami kesukaran untuk memegang pensel dan tidak dapat menulis mengikut garisan yang disediakan. Kanak-kanak ini juga cenderung menulis perkataan yang pelik-pelik

4. Bercakap dan mendengar
Terdapat juga diatara mereka yang mengalami kesukaran untuk bertutur. Mereka juga kelihatan seperti tidak mendengar atau mempedulikkan. Hal ini berlaku disebabkan kelambatan dalam proses maklimat yang diperolehi. Mereka juga tidak melakukan atau menyusun sesuatu mengikut susunan.

5. Nombor
Kanak-kanak ini juga menghadapi kesukaran dalam pembelajaran yang berkaitan dengan matematik mental. Terdapat kekeliruan terhadap tanda dan simbol dan suka menterbalikkan nombor yang sama. Contohnya seperti berikut :
3 – 5 – 8
9 – 6

6. Masalah fizikal, pengurusan diri dan sosial
  • Pakaian sentiasa tidak kemas tetapi tidak kotor dan pandai membutangkan baju, kidal dan pandai mengikat tali kasut
  • Kelihatan berminat dalam pelajaran tetapi dilabel pemalas dan kelihatan bodoh
  • Skop penglihatan yang terhad di mana keliru antara depan, belakang, kiri, kanan,, atas, bawah serta pengamatan yang lemah

PUNCA-PUNCA DISLEKSIA


Mengikut Mercer (1997); Hammond dan Hughes (1996) dan Spaafford dan Grosser (1996), antara punca-punca disleksia ialah;
  1. Keturunan atau genetik – Kebanyakan kes, terdapat beberapa ahli keluarga yang mengalami masalah-masalah yang sama. Kemungkinan punca ini boleh diwarisi, cuma yang membezakannya adalah darjah keterukannya. Terdapat kajian yang dijalankan telah membuktikan disleksia disebabkan oleh kromosom 1, 15 dan 16 yang boleh diwarisi secara turun-temurun.
  2. Biologi – Sejarah kanak-kanak disleksia biasanya semasa dilahirkan tidak cukup bulan, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau kelahiran yang amat sukar. Faktor-faktor ini menjadi punca kelambatan atau ketidaksempurnaan perkembangan. Sebahagian daripada kerosakan otak yang menyebabkan kanak-kanak ini mengalami masalah belajar dan kerosakan ini minimum.
  3. Kematangan – Terdapat kanak-kanak yang lambat perkembangannya pada bahagian tertentu dalam sistem saraf. Pada kebiasannya, kanak-kanak lelaki lambat matang daripada kanak-kanak perempuan. Kelewatan kematangan pada kanak-kanak merupakan salah satu kemungkinan punca disleksia.

APAKAH CIRI-CIRI DISLEKSIA



  1. Diperingkat pra sekolah mereka mungkin :
    • Lambat bertutur
    • Mengalami kesukaran sebutan atau rima
    • Sukar menulis nama sendiri
    • Payah mengenal bentuk atau warna
    • Sukar memberitahu cerita yang telah didengarinya
  2. Di alam persekolahan, kanak-kanak Disleksia mungkin :
    • Gagal menguasai tugasan sekolah seperti membaca, menulis, mengeja atau mengira
    • Tidak suka membaca dan mengelak dari membaca di kelas
    • Kesilapan semasa membaca huruf, perkataan atau nombor (Bacaan terbalik) :
      • 15 dengan 51
      • “was” menjadi “saw”
      • ‘b’ dengan ‘d’‘
    • Kurang koordinasi seperti sukar mengikat tali kasut
    • Keliru dengan konsep masa seperti ‘semalam’, ‘ hari ini’ , ‘esok’
    • Kesukaran memahami, mengingati dan mengikuti arahan
    • Selalu tersalah letak atau hilang barang atau kerja sekolah


Peringkat kanak-kanak
Masalah yang dihadapi
Prasekolah
  1. Kemahiran bertutur yang lambat dan sukar memahami arahan
  2. Suka mengganti perkataan dan hiperaktif
  3. Kemahiran motor kasar dan motor halus yang lemah
  4. Serigkali terlupa nama benda-benda atau pelajaran yang dipelajari
  5. Tidak merangkak semasa bayi
  6. Suka mendengar bacaan tetapi tidak berminat membaca sendiri
  7. Sifat ingin tahu tinggi, berminat terhadap pekara baru dan suka bertanya banyak soalan
6 hingga 9 tahun
  1. Kemahiran membaca, menulis dan mengeja yang lemah dan suka menterbalikkan perkataan, huruf dan nombor
  2. Menggunakan jari untuk mengira dan membaca
  3. Keliru dengan kiri dan kanan
  4. Tulisan cermin atau terbalik
9 hingga 12 tahun
  1. Kesilapan membaca, mengeja dan lemah dalam kefahaman
  2. Mengambil masa yang panjang untuk menyiapkan latihan
  3. Kesukaran menyalin maklumat dipapan putih atau buku teks
  4. Sukar mengikuti arahan lisan yang panjang
  5. Kelihatan tidak terurus semasa berada dirumah atau sekolah
  6. Kurang keyakinan dan menghadapi masalah tekanan jiwa
Sekolah Menengah
  1. Kesukaran membaca dan terkeliru dengan perkataan dan ejaan yang tidak konsisten
  2. Kesukaran menulis karangan
  3. Keliru dengan nombor-nombor dan arahan oral
  4. Kesukaran mempelajari bahasa lain
  5. Lemah dalam kefahaman dan tidak mempunyai ramai kawan
  6. Jenis orang yang suka senyap
  7. Bercakap dengan nada yang kuat atau menjerit daripada konsisten
  8. Kurang kemahiran bersosial

JENIS-JENIS DISLEKSIA



Disleksia boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu;
  1. Disleksia visual (penglihatan) – Kesukaran utama yang dihadapi ialah untuk mengingat dan mengenal abjad serta konfugirasi perkataan. Simbol-simbol perkataan yang dicetak juga sukar untuk diterjemahkan. Kemungkinan untuk melihat abjad-abjad tertentu atau sebahagian perkataan adalah secara terbalik.
  2. Disleksia auditori (pendengaran) – Kesukaran untuk mengingat bunyi abjad, menganalisis bunyi mengikut suku kata perkataan dan menyusun atau menggabungkan suku kata bagi menyembunyikan perkataan. Bunyi percakapan yang tuturkan secara halus juga tidak dapat dibezakan. Masalah untuk membezakan bunyi vokal dengan konsonan juga dihadapi oleh dislaksia auditori
  3. Disleksia visual – auditori – Kesukaran membaca yang amat teruk kerana mempunyai kelemahan untuk memproses tulisan secara visual dan audio

Sabtu, 7 Mei 2011

DEFINISI DISLEKSIA


Perkataan “disleksia” (dyslexia) adalah hasil gabuangan dua perkataan Greek iaitu “Dys” yang bermaksud kesukaran dan “Lexis” bermaksud perkataan atau dengan kata lain, kesukaran menggunakan perkataan. Istilah ‘buta huruf’ juga digunakan untuk kategori ini. Seorang Profesor Berlin pada tahun 1887, merangkap seorang pakar perubatan dan ‘ophalomotologist’ telah memperkenalkan perkataan ‘Disleksia’ (Hammond dan Hugges, 1996:3)“Disleksia ialah satu ‘Disorder’ dalam kanak-kanak yang telah terima Pendidikan Biasa, tidak memperolehi kemahiran bahasa, bacaan, menulis dan ejaan yang setaraf intelek” (World Federation Of Neurology, 1968) Selain itu terdapat juga beberapa perkataan lain yang berkaitan dengan Disleksia, diantaranya ialah:-
  1. Dyscalculia (Diskalkulia) iaitu seorang disleksia yang bermasalah dalam pengiraan ataupun matematik
  2. Dysgraphia (Disgrafia) iaitu seorang disleksis yang bermasalah dalam bahasa
  3. Dyspraxia (Dispraksia) iaitu seorang disleksis yang bermasalah dalam ko-ordinasi moto-mata-tangan

APA ITU DISLEKSIA


  • Disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku.
  • Kanak-kanak Disleksia mempunyai masalah menguasai tugasan sekolah walaupun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh
    • Mempunyai keupayaan intelek yang normal
    • Telah mendapat ransangan dan pembelajaran yang mencukupi
  • Masalah asasnya adalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi
  • Mereka mungkin mengalami kesukaran
    • Membaca
    • Menulis
    • Memahami
    • Mengeja
    • Mengira
  • Dianggarkan 4 – 8 % pelajar sekolah yang bermasalah disleksia.
  • Kanak-kanak lelaki lebih ramai bermasalah Disleksia berbanding perempuan


  • Disleksia adalah satu masalah pembelajaran iaitu kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap di sebalik pengajaran yang cukup dan peluang budaya yang sempurna. Sebenarnya masalah ini bukanlah satu penyakit dan ia tidak memerlukan ubat untuk mengubatinya, sebaliknya dengan program pendidikan yang sesuai masalah ini dapat dikurangkan.
  • Disleksia juga bukan disebabkan kecerdasan yang lemah serta penglihatan tetapi seseorang disleksia tidak mengecam sesuatu dalam keadaan terbalik. Ternyata sekali disleksia menghuraikan sesuatu kelainan dalam otak, selalunya ia adalah pemberian Tuhan yang terus berkembang dalam diri seseorang dengan cara yang berlainan.

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More