Recent Posts


ShoutMix chat widget

Ahad, 8 Mei 2011

Bantu mereka belajar



ALBERT Einstein tidak pernah belajar membaca sehingga umurnya sembilan tahun. Seorang guru sekolah yang mengajar Thomas Edison melabelkannya sebagai murid lembam.

Sebagaimana masyhurnya cerita mengenai kedua-dua individu terbabit, kedua-dua mereka tidak menjadikan disleksia sebagai batu penghalang untuk mencapai kejayaan.
Sebagai usaha untuk mewujudkan kesedaran mengenai pentingnya rawatan pemulihan awal bagi disleksia, Procter & Gamble Malaysia (P&G), pasar raya besar Giant dan farmasi Guardian bekerjasama menerusi kempen ‘The Gift of Learning’ untuk membolehkan pengguna prihatin turut serta menyumbang ke arah keperluan pembelajaran kanak-kanak disleksia.

Kempen terbabit akan berlangsung sehingga 19 Mei 2011 dengan harapan untuk meraih kira-kira RM100,000 bagi menyediakan pembelajaran pemulihan secara percuma kepada kanak-kanak disleksia di pusat Pertubuhan Disleksia Malaysia di seluruh negara.

“Tahun ini, P&G berbangga kerana dapat bekerjasama dengan rakan kami iaitu Giant dan Guardian untuk membantu lebih ramai kanak-kanak disleksia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif P&G Malaysia dan Singapura, Ellie Xie ketika pelancaran kempen berkenaan di Kota Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, disleksia yang mempengaruhi kebolehan seseorang untuk membaca adalah satu fenomena biasa di negara ini dan membabitkan 314,000 kanak-kanak sekolah.

“Justeru, penting untuk mengesan penyakit ini di tahap awal supaya bantuan dapat diberikan secepat mungkin dan mereka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Dalam satu suasana ala kelas yang ceria, pengunjung pada Sabtu itu dihiburkan oleh pelajar berusia antara tujuh hingga 12 tahun daripada pertubuhan berkenaan. Tidak ketinggalan, penampilan istimewa personaliti televisyen, Baki Zainal, yang turut berkongsi pengalamannya sebagai penghidap disleksia.

Pengarah Pemasaran GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Ho Mun Hao, berkata sebagai rakan dalam kempen terbabit, pihaknya gembira kerana kedudukan rangkaian pasar raya Giant yang strategik dapat membantu untuk meraih dana bagi kanak-kanak disleksia berkenaan.

Sempena pelancaran terbabit, orang ramai dijemput untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai disleksia secara percuma mulai jam 10 pagi hingga 6 petang di kaunter khas di Giant Sunway City Ipoh (30 April dan 1 Mei) serta Giant Bayan Baru Pulau Pinang (7 dan 8 Mei).

Sehingga 19 Mei ini, pembelian produk jenama P&G di Giant atau Guardian membolehkan pembeli menyumbang untuk membantu kanak-kanak disleksia di negara ini. Layari laman web www.openminds.my atau Facebook untuk maklumat lanjut.

0 comments:

Catat Ulasan

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More